Isnin, 23 November 2015

Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara


PENGENALAN
Kanak-kanak merupakan modal insan penting kepada negara. Modal insan ini dapat dibangunkan kepada tahap optimum melalui penyediaan persekitaran yang selamat dan kondusif. Sehubungan itu, perlindungan terhadap kanak-kanak daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi adalah satu aspek penting dan hendaklah diberi keutamaan.

Justeru, dasar perlindungan kanak-kanak amat perlu pada masa ini bagi menggalakkan setiap agensi, organisasi dan anggota masyarakat memberi keutamaan kepada perlindungan kanak-kanak sebagai tanggungjawab bersama. Dasar ini adalah selaras dengan falsafah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) dan Akta Kanak-Kanak 2001 yang juga menekankan prinsip perlindungan kepada kanak-kanak demi kepentingan terbaik mereka.

DEFINISI
Kanak-kanak didefinisikan sebagai seseorang yang di bawah umur 18 tahun seperti yang termaktub dalam Akta Kanak-Kanak 2001.

Perlindungan kanak-kanak merujuk kepada strategi dan aktiviti untuk mencegah dan bertindak balas terhadap pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi terhadap kanak-kanak.

Pengabaian merujuk kepada kegagalan secara berterusan dan serius untuk menyediakan keperluan asas fizikal, emosi dan pembangunan dari segi kesihatan, pendidikan, perkembangan emosi, nutrisi, tempat perlindungan dan kehidupan yang selamat untuk kanak-kanak. Pengabaian boleh mendedahkan kanak-kanak kepada segala bentuk bahaya, termasuk mengancam nyawa mereka.

Penderaan kanak-kanak adalah satu pencabulan atau pelanggaran yang serius terhadap hak kanak-kanak untuk berkembang dalam keadaan sihat dan bermaruah di samping menyebabkan risiko dalam kelangsungan hidup mereka. Penderaan boleh dikategorikan kepada penderaan fizikal, emosi, seksual dan pengabaian.

Penderaan fizikal menurut Akta Kanak-Kanak 2001 adalah apabila seseorang kanak-kanak dicederakan dari segi fizikal menyebabkan kecederaan yang boleh dilihat pada mana-mana bahagian tubuh kanak-kanak itu akibat kekerasan atau penggunaan agen yang disengajakan kepada tubuh kanak-kanak itu.

Penderaan emosi menurut Akta Kanak-Kanak 2001 adalah apabila seseorang kanak-kanak dicederakan dari segi emosi yang menyebabkan gangguan yang boleh dilihat pada fungsi mental atau emosi kanak-kanak itu seperti kecelaruan mental atau tingkah laku, keresahan, kemurungan, penyendirian dan perkembangan lambat.

Penderaan seksual menurut Akta Kanak-Kanak 2001 adalah apabila seseorang kanak-kanak teraniaya dari segi seks jika dia mengambil bahagian, sama ada sebagai peserta atau pemerhati, dalam apa-apa aktiviti yang berunsur seks bagi apa-apa maksud atau eksploitasi seks oleh mana-mana orang bagi memuaskan nafsu seks orang itu atau orang lain.

Keganasan merujuk kepada sesuatu tindakan dengan niat untuk menyebabkan sebarang bentuk kecederaan dari segi fizikal dan emosi terhadap kanak-kanak.

Eksploitasi merujuk kepada penggunaan kanak-kanak dalam aktiviti yang membolehkan pihak lain mendapat faedah dari segi kewangan, seksual, politik serta kepentingan lain yang boleh mengancam kesejahteraan fizikal dan psikologikal mahupun kelangsungan hidup kanak-kanak.

PERNYATAAN DASAR
Dasar Perlindungan Kanak-Kanak ini merupakan satu dasar yang mengandungi pernyataan mengenai prinsip perlindungan kanak-kanak selaras dengan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) dan Akta Kanak-Kanak 2001. Dasar ini memberi tumpuan kepada aspek advokasi, pencegahan, khidmat sokongan dan penyelidikan dan pembangunan bagi melindungi kanak-kanak.

PERNYATAAN MATLAMAT
Secara khususnya, Dasar Perlindungan Kanak-Kanak bertujuan untuk memastikan setiap kanak-kanak mendapat perlindungan daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi. Dasar ini juga menjadi pemangkin kepada kesedaran dan komitmen semua pihak, termasuk setiap anggota masyarakat dalam melindungi kanak-kanak.

OBJEKTIF
Dasar Perlindungan Kanak-kanak Negara menetapkan 7 objektif utama seperti berikut:

  1. meningkatkan kesedaran dan komitmen pelbagai pihak terhadap usaha melindungi kanak-kanak sebagai tanggungjawab bersama;
  2. mewujudkan persekitaran yang selamat dan mesra kanak-kanak;
  3. menggalakkan organisasi yang berhubung secara langsung dan tidak langsung dengan kanak-kanak mewujudkan dasar perlindungan kanak-kanak organisasi masing-masing;
  4. melindungi setiap kanak-kanak daripada sebarang bentuk pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi;
  5. menetapkan hanya individu yang bersesuaian sahaja boleh berurusan secara langsung dengan kanak-kanak;
  6. meningkatkan khidmat sokongan bagi menangani pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi terhadap kanak-kanak; dan
  7. meningkatkan penyelidikan dan pembangunan bagi menambah baik perlindungan terhadap kanak-kanak.


STRATEGI
Bagi mencapai objektif-objektif di atas, 11 strategi dirangka berasaskan 4 aspek utama iaitu advokasi, pencegahan, khidmat sokongan dan penyelidikan dan pembangunan. Strategi-strategi tersebut adalah seperti berikut:
Advokasi

  1. Menerap dan memupuk kesedaran tentang pentingnya tanggungjawab melindungi kanak-kanak kepada semua lapisan masyarakat termasuk mewujudkan perkongsian pintar (smart partnership) dengan pihak media dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk sektor swasta dan organisasi masyarakat.
  2. Memastikan mereka yang berurusan secara langsung dengan kanak-kanak berupaya mengenal pasti dan seterusnya melaporkan kes-kes pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi.
  3. Memastikan kanak-kanak dan anggota masyarakat termasuk pengamal undang-undang, penuntut jurusan undang-undang, pendidik, pekerja sosial, doktor, anggota penguat kuasa (seperti pegawai polis dan imigresen), pemandu pengangkutan awam (seperti bas dan teksi) dan pengawal keselamatan diberi kefahaman mengenai hak kanak-kanak di bawah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) dengan fokus kepada aspek perlindungan.
  4. Menggalakkan penyediaan persekitaran yang sihat dan selamat untuk kanak-kanak.
  5. Menggalakkan setiap organisasi mewujudkan dasar dan peraturan mengenai perlindungan kanak-kanak.
Pencegahan
  1. Mewujudkan mekanisme amaran awal dan mengukuhkan mekanisme perlindungan kanak-kanak di peringkat nasional dan antarabangsa.
  2. Menyediakan pengetahuan asas kepada kanak-kanak untuk membolehkan mereka melindungi diri daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi serta mengenal pasti keadaan yang berisiko kepada mereka.
  3. Mewujudkan sistem saringan, pengiktirafan dan latihan bagi mereka yang bekerja secara langsung dengan kanak-kanak.
Khidmat Sokongan
  1. Memperluas dan meningkatkan perkhidmatan kaunseling kepada mangsa, keluarga, pesalah dewasa, pesalah kanak-kanak dan komuniti setempat.
  2. Meningkat dan memperluaskan perkhidmatan perlindungan dan kesihatan kepada mangsa dan keluarga.
Penyelidikan dan Pembangunan
  1. Menggalakkan penyelidikan dan pembangunan mengenai perlindungan kanak-kanak serta menyebar luas hasil penyelidikan untuk tindakan penambahbaikan.

Selasa, 9 Jun 2015

Bentuk Graf Berdasarkan Persamaan

Sebuah persamaan boleh menghasilkan bentuk graf yang berbeza.

1. x² + 2x - 2

2. -x² + 2x - 2



Selasa, 10 Mac 2015

Hak Milik Strata

Skim Strata
Skim strata merupakan suatu pembangunan hartanah yang membahagikan bangunan atau tanah kepada petak-petak, petak aksesori dan harta bersama serta telah ditetapkan sistem pengurusan bagi skim tersebut. Contohnya rumah pangsa, pangsapuri, kondominium, townhouse dan rumah-rumah dalam skim komuniti berpagar.


Kepentingan Hak Milik Strata
Hakmilik strata adalah bukti pemilikan bagi tujuan urusniaga. Contohnya pindahmilik, gadaian, cagaran dan pembahagian pusaka.


Harta Bersama 
Harta bersama adalah merujuk kepada mana-mana bahagian lot yang tidak terkandung dalam mana-mana petak. Contohnya tempat letak kereta pelawat, lif, tangga, tangki paip utama dan pondok pegawai keselamatan


Petak Aksesori 
Petak aksesori adalah petak lain yang digunakan secara eksklusif oleh tuan punya petak hakmilik strata. Contohnya, tempat letak kereta yang hanya boleh digunakan secara eksklusif oleh pemilik petak.


Hak-hak Pemilik Petak 
  • membuat urusniaga seperti pindahmilik, memajak, menggadai, memecah dan menyatukan petak-petak yang dimilikinya;
  • mengundi dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan di mesyuarat agung luar biasa yang dibuat oleh Perbadanan Pengurusan;
  • hak ke atas harta bersama mengikut unit syer yang diperuntukkan;
  • hak ke atas sokongan, perkhidmatan seperti bekalan air, pembentungan, sistem perparitan, bekalan elektrik, pungutan sampah dan perkhidmatan lain;
  • hak untuk meneliti rekod dan akaun Perbadanan Pengurusan

Tanggungjawab Utama Pemilik Petak
  • membayar caruman kumpulan wang pengurusan;
  • mematuhi undang-undang kecil yang sedang berkuatkuasa;
  • menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Luar Biasa
  • mematuhi apa-apa arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa awam / tempatan berhubungan dengan petak yang dimilikinya.

Larangan terhadap pemilik petak
  • menggunakan petak untuk maksud yang menyalahi undang-undang;
  • mengunakan bahan api yang mendatangkan asap atau bau busuk;
  • membuang atau menjatuhkan apa-apa kotoran atau sampah di kawasan harta bersama;
  • memelihara apa-apa binatang dalam petaknya yang menyebabkan keguasaran / kemarahan pemilik petak lain.

Kumpulan Wang Caruman (Management Fund)
Kumpulan wang caruman ini diuruskan oleh Perbadanan Pengurusan. Ia termasuk yuran pengurusan / caj perkhidmatan harta bersama, premium insuran kebakaran, akaun khas dan lain-lain.


Perbadanan Pengurusan
Perbadanan Pengurusan adalah sebuah badan korporat yang boleh mendakwa dan didakwa. Ia wujud di bawah Akta Hakmilik Strata 1985 dan tidak perlu didaftarkan dengan Pendaftar Syarikat atau Pendaftar Pertubuhan. Ia mempunyai hak turun-temurun (perpetual succession).


Kuasa-kuasa Perbadanan Pengurusan
  • menentukan bayaran yang perlu dibuat oleh setiap pemilik petak kepada tabung pengurusan;
  • membeli, menyewa atau memperolehi harta alih untuk kegunaan bersama;
  • mematuhi notis / arahan oleh pihak berkuasa untuk melakukan sesuatu ke atas harta bersama;
  • mengambil tindakan ke atas petakl-petak sekiranya pemilik berkenaan gagal mematuhi arahan-arahan dalam tempoh tertentu;

Tanggungjawab Perbadanan Pengurusan
  • mengurus dan menyelenggarakan harta bersama untuk memberi faedah kepada semua pemlik petak;
  • menginsuranskan bangunan dari kebakaran dan lain-lain risiko;
  • membayar premium insurans dan lain-lain kadar yang ditetapkan;
  • mempamerkan nama dan alamatnya di pintu masuk lot serta menyediakan peti surat;
  • mematuhi apa-apa notis atau arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan berhubung dengan harta bersama

  1. Perlukah saya membayar cukai pintu setelah membayar management fund?
    Ya. Cukai pintu adalah cukai yang dikenakan ke atas hartanah yang terletak di kawasan Majlis seperti kediaman, perniagaan dan perindustrian. Kuasa mengutip cukai pintu di peruntukkan di dalam bahagian XV Akta Kerajaan Tempatan (Akta Kerajaan Tempatan (Akta 171) yang diluluskan oleh Parlimen/Kerajaan Persekutan pada tahun 1976.
     
  2. Mengapa perlu adanya hakmilik strata?
    Hakmilik strata adalah bukti pemilikan bagi tujuan urusniaga. Contohnya pindahmilik, gadaian, cagaran dan pembahagian pusaka.
     
  3. Apa tanggungjawab utama pemilik petak?
    a)  Membayar caruman kumpulan wang pengurusan;
    b)  Mematuhi undang-undang kecil yang sedang berkuatkuasa;
    c)  Menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Luar Biasa
    d) Mematuhi apa-apa arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa awam / tempatan berhubungan dengan petak yang dimilikinya.
     
  4. Apa larangan terhadap pemilik petak?
    a)  Menggunakan petak untuk maksud yang menyalahi undang-undang;
    b)  Mengunakan bahan api yang mendatangkan asap atau bau busuk;
    c)  Membuang atau menjatuhkan apa-apa kotoran atau sampah di kawasan harta bersama;
    d)  Memelihara apa-apa binatang dalam petaknya yang menyebabkan keguasaran / kemarahan pemilik petak lain.
     
  5. Apa itu skim strata?
    Skim strata merupakan suatu pembangunan hartanah yang membahagikan bangunan atau tanah kepada petak-petak, petak aksesori dan harta bersama serta telah ditetapkan sistem pengurusan bagi skim tersebut. Contohnya rumah pangsa, pangsapuri, kondominium, townhouse dan rumah-rumah dalam skim komuniti berpagar.
     
  6. Apa itu petak aksesori?
    Petak aksesori adalah petak lain yang digunakan secara eksklusif oleh tuan punya petak hakmilik strata. Contohnya, tempat letak kereta yang hanya boleh digunakan secara eksklusif oleh pemilik petak.
     
  7. Apa itu Perbadanan Pengurusan?
    Perbadanan Pengurusan adalah sebuah badan korporat yang boleh mendakwa dan didakwa. Ia wujud di bawah Akta Hakmilik Strata 1985 dan tidak perlu didaftarkan dengan Pendaftar Syarikat atau Pendaftar Pertubuhan. Ia mempunyai hak turun-temurun (perpetual succession).
     
  8. Apa itu kumpulan wang caruman (management fund)?
    Kumpulan wang caruman ini diuruskan oleh Perbadanan Pengurusan. Ia termasuk yuran pengurusan / caj perkhidmatan harta bersama, premium insuran kebakaran, akaun khas dan lain-lain.
     
  9. Apa itu harta bersama?
    Harta bersama adalah merujuk kepada mana-mana bahagian lot yang tidak terkandung dalam mana-mana petak. Contohnya tempat letak kereta pelawat, lif, tangga, tangki paip utama dan pondok pegawai keselamatan
     
  10. Apa hak-hak pemilik petak?
    a)  Membuat urusniaga seperti pindahmilik, memajak, menggadai, memecah dan menyatukan petak-petak yang dimilikinya;
    b)  Mengundi dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan di mesyuarat agung luar biasa yang dibuat oleh Perbadanan Pengurusan;
    c)  Hak ke atas harta bersama mengikut unit syer yang diperuntukkan;
    d)  Hak ke atas sokongan, perkhidmatan seperti bekalan air, pembentungan, sistem perparitan, bekalan elektrik, pungutan sampah dan perkhidmatan lain;
    e)  Hak untuk meneliti rekod dan akaun Perbadanan Pengurusan.