Rabu, 22 Jun 2016

Impak Positif Program 1AZAM

IMPAK DAN HASIL KEPADA PEMBANGUNAN NEGARA

  • Sejak diperkenalkan pada 2009 sehingga September 2016, lebih 195,953 orang telah meraih manfaat daripada program ini dan daripada jumlah itu, seramai 85,866 orang telah berjaya meningkatkan pendapatan sekurang-kurangnya RM 300.00.
  • Berdasarkan Kajian Penilaian Outcome Program 1AZAM (AZAM Niaga & Khidmat) KPWKM yang telah dilaksanakan pada tahun 2016, sebanyak 89.17% peserta memperoleh pendapatan di bawah PGK (Miskin Tegar) sebelum menerima bantuan/memulakan perniagaan dan peratusan tersebut berkurang kepada 58.69% selepas menerima bantuan/memulakan perniagaan iaitu pengurangan sebanyak 30.48%. Pada masa yang sama, sebanyak 6.04% peserta memperoleh pendapatan di atas PGK (Miskin) sebelum menerima bantuan/memulakan perniagaan dan peratusan tersebut bertambah kepada 17.63% selepas menerima bantuan/memulakan perniagaan iaitu pertambahan sebanyak 11.59%.
  • Dalam usaha untuk mengurangkan dan membasmi kemiskinan, NKRA LIH melibatkan beberapa agensi pelaksana yang bertanggungjawab menjalankan program-program pembasmian kemiskinan. Antara agensi pelaksananya adalah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat selaku agensi peneraju manakala Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Kementerian Sumber Manusia (MOHR), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Kementerian Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KKWKK) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah (KPIM) bertindak sebagai agensi pelaksana.
  • Kementerian amat komited dalam usaha untuk meningkatkan taraf hidup isi rumah berpendapatan rendah. Program 1AZAM dilaksanakan bermula tahun 2010 sebagai usaha untuk menyediakan dan meningkatkan tahap kesejahteraan kepada rakyat, dan sehingga 1 Jun 2016, program ini telah berjaya mengumpul penyertaan seramai 193, 762 ribu orang.
  • Daripada jumlah tersebut, Program 1AZAM yang dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai Kementerian dan agensi telah berjaya mencatatkan kejayaan 85,866 ribu orang peserta Program 1AZAM telah berjaya meningkatkan pendapatan sekurang-kurangnya RM 300 selama tiga bulan berturut-turut. Kementerian amat berbangga dengan pencapaian ini dan berharap para peserta dapat menggiatkan usaha untuk menambah pendapatan keluarga, dan seterusnya menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara.
HALA TUJU
  • Kementerian dan Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah merangka satu pelan tindakan dalam merealisasikan hasrat ini. Salah satu strategi dalam pelan tindakan tersebut yang melibatkan Kementerian ini secara langsung adalah Meningkatkan Taraf Isi Rumah B40 Ke Arah Masyarakat Kelas Menengah dengan Membudayakan dan Menerapkan Penggunaan Teknologi dan Inovasi Dalam Kalangan Komuniti seperti konsep social enterprise  atau keusahawanan sosial.
  • Antara inisiatif yang telah dirangka dan bakal dilaksanakan adalah melatih peserta Program 1AZAM sedia ada untuk menggunapakai kemudahan teknologi maklumat seperti laman-laman sosial bagi mempromosikan produk jualan mereka dan memupuk budaya celik IT di kalangan para usahawan.
  • Selain itu, Kementerian juga berazam untuk melahirkan usahawan kecil dengan membantu usahawan mikro dalam Program 1AZAM sebagai perantara atau pemudah cara bagi mendapatkan akses-akses bantuan kerajaan yang sedia ada.