Khamis, 13 Oktober 2016

Program 1AZAM



Inisiatif utama yang diperkenalkan melalui NKRA LIH (Bidang Keberhasilan Utama Negara Mempertingkatkan Taraf Kehidupan Isi Rumah Berpendapatan Rendah) adalah program peningkatan pendapatan kepada isi rumah berpendapatan rendah iaitu Program 1AZAM.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) merupakan Kementerian Peneraju Bidang Keberhasilan Utama Negara bagi Meningkatkan Taraf Hidup Rakyat Berpendapatan Rendah (NKRA LIH) di mana ia telah mengetengahkan pelbagai usaha dan inisiatif bagi meningkatkan taraf hidup rakyat miskin tegar, miskin dan golongan B40 melalui Program 1AZAM, program peningkatan pendapatan melalui aktiviti perniagaan secara kecil-kecilan. 

AZAM Niaga memfokuskan peluang perniagaan berasaskan makanan secara kecil-kecilan.
AZAM Khidmat memfokuskan peluang perniagaan berasaskan perkhidmatan secara kecil-kecilan.

Objektif Program 1AZAM (AZAM Niaga & Khidmat) KPWKM adalah seperti berikut:    

  • Menyediakan peluang kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah untuk menjana pendapatan;
  • Memperkasa kumpulan sasar supaya boleh berdikari; dan
  • Meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah.

KATEGORI AZAM

Terdapat lima (5) projek di bawah Program 1AZAM iaitu AZAM Niaga, AZAM Khidmat, AZAM Tani, AZAM Kerja, dan AZAM Bandar.

❖ AZAM Niaga
Menyediakan peluang menjana pendapatan melalui perniagaan kecil-kecilan dengan kemudahan latihan dan skim kredit mikro. Antara jenis perniagaan yang boleh diusahakan ialah produk makanan dan minuman, barangan kraftangan, dan perniagaan runcit.

❖ AZAM Khidmat
Menawarkan peluang menjana pendapatan melalui bidang perkhidmatan dengan memberi latihan kepada peserta bagi membolehkan mereka mempunyai kemahiran tertentu seperti rawatan penjagaan diri, urutan dan refleksologi.

❖ AZAM Tani
Memberi peluang menjana pendapatan melalui kegiatan berasaskan pertanian yang memberikan hasil/pulangan jangka pendek seperti tanaman sayuran dan buah-buahan (cili fertigasi, sawi, nenas dan jagung), ternakan (ikan air tawar, ayam, dan itik). Projek ini dijalankan secara pertanian berkelompok dan individu.

❖ AZAM Kerja
Menawarkan peluang menjana pendapatan melalui penempatan kerja. Projek ini memberi fokus kepada pelbagai bidang pekerjaan bagi mereka yang produktif, mempunyai kelayakan minimum atau tanpa kemahiran. Peserta projek ini akan diberi latihan kemahiran yang membolehkan mereka mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian seperti, pelayan restoran, pekerja restoran makanan segera dan pekerja hotel.

❖ AZAM Bandar
Disasarkan untuk membantu golongan miskin bandar meningkatkan kemahiran melalui kursus latihan dan kemahiran dan membekalkan bantuan peralatan agar mampu mengusahakan perniagaan yang boleh memberikan pendapatan yang lebih tinggi seterusnya meningkatkan kualiti hidup dan keluar dari kemiskinan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan